Monday, June 6, 2011

Rozita tidak elak jumpa Shahir

TIDAK surut-surut kontroversi yang mengaitkan aktres jelita Rozita Che Wan, 38. Selain kejelitaan, status sebagai ibu tunggal sering menjadikannya buruan banyak pihak.
Justeru, apabila timbul gosip cinta antaranya dengan penyanyi dan pelakon muda Shahir, banyak pihak menimbulkan persoalan sama ada cinta antara mereka benar-benar terjalin atau tidak.

Selepas Rozita sendiri membuat pengakuan telah menjalinkan hubungan cinta bersama Ahmad Shahir Zawani atau Shahir, 23, selama setahun lebih kepada pihak media, ramai yang terkejut dan tidak senang duduk.
Namun begitu, pengakuannya itu umpama cinta yang bertepuk sebelah tangan apabila Shahir tidak pernah memberi sebarang pengesahan mengenai cinta mereka kecuali menjelaskan mereka adalah teman rapat.
Kosmo! yang bertemu dengan Rozita pada majlis pelancaran cawangan kedua Jari Spa di Wangsa Maju baru-baru ini mendapatkan kenyataan daripadanya berhubung kontroversi itu.

Kosmo!: Sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi kontroversi cinta antara Rozita dan Shahir. Bagaimana Rozita menghadapi perkara ini?
Rozita: Bukan saya yang nak besarkan isu ini, semuanya jadi besar apabila ada sahaja cerita mengenai saya dan Shahir di akhbar dan Internet. Sejak saya beri kenyataan (pengakuan cinta), kontroversi tidak habis-habis sampai sekarang. Saya nak buat macam mana, kena terima sahajalah.

Apabila hanya Rozita yang lantang bersuara mengenai kisah cinta ini sedangkan Shahir lebih banyak berdiam diri dan tidak memberi sebarang pengesahan mengenai hubungan cinta itu, ia umpama cinta yang bertepuk sebelah tangan. Komen?
Rasanya saya telah beri kenyataan mengenai perkara ini, jadi bagi saya berdiam diri lebih baik daripada berkata-kata. Jika saya cakap, nanti orang akan panjangkan isu ini saya rasa cukup-cukuplah.

Adakah Rozita tertekan dengan kontroversi ini?
Tidaklah, saya tidak tertekan dan tidak ada sebarang masalah. Saya okey dan menjalani kehidupan saya seperti biasa. Lagipun sekarang ini saya sibuk dengan penggambaran drama Annisa untuk slot Samarinda di TV3 dan anak sulung saya akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini, jadi saya beri tumpuan kepadanya.

Selepas kontroversi ini, adakah Rozita berhenti atau mengelakkan diri daripada berjumpa dengan Shahir?
Saya bukan buat salah pun, jadi kenapa mesti saya elak berjumpa dengan dia. Kami masih berkawan seperti biasa.

Terbaru foto-foto Rozita dan Shahir bersama di Lapangan Terbang Tambang Murah, KLIA telah tersebar di Internet. Ketika itu, dikatakan kalian sedang menunggu penerbangan ke Alor Setar, Kedah. Adakah Rozita bawa Shahir berjumpa keluarga?
Saya tahu mengenai foto itu, ada kawan-kawan beritahu saya tetapi saya tidak sempat untuk tengok lagi. Foto itu bukannya isu besar dan saya bukannya bawa dia balik kampung tetapi kami sedang dalam perjalanan ke lokasi penggambaran drama Cer Citer Cinta untuk Astro Prima yang akan ditayangkan pada Julai depan.

Selain Shahir, Rozita turut dikaitkan dengan Zain Saidin yang digandingan dalam drama Annisa terbitan Zeel Production. Kalian juga dikatakan mempunyai hubungan istimewa?
Kami kerap berlakon bersama dalam drama terbitan Zeel Production, ia tidak secara langsung menyebabkan kami rapat. Tidak semestinya rapat itu bercinta. Kami hanya kawan biasa, tidak lebih daripada itu.

Mengapa sekarang nama Rozita kerap dikaitkan dengan lelaki yang lebih muda?
Trend sekarang (ketawa). Tidaklah, dulu pun saya digosipkan dengan Datuk K, VIP dan ramai lagi, memang gosip ini sentiasa ada, bukan saya yang cari. Asalkan lelaki itu bukannya suami orang, apa salahnya sekadar berkawan biasa. Saya mempunyai ramai kawan daripada pelbagai peringkat usia.

Kenapa Rozita memilih Shahir, lelaki yang lebih muda, sedangkan dengan kejelitaan yang dimiliki, Rozita mampu mendapatkan cinta lelaki yang seusia dan memiliki kehidupan yang stabil?
Dalam satu-satu hubungan yang paling penting bagi saya adalah keserasian dan hati bukannya harta dan wang ringgit.

Apa kata keluarga Rozita mengenai kontroversi cinta bersama Shahir kerana jarak usia sebanyak 16 tahun?
Keluarga tidak cakap apa-apa, mereka pasti tahu sebab cerita ini keluar di akhbar. Tetapi saya tidak tahu apa pendapat mereka sebab saya tidak pernah bertanya mengenainya.

Bilakah Rozita akan berkahwin semula?
Saya tidak ada sasaran bila saya mahu berkahwin. Sekarang umur saya sudah 38 tahun, kalau saya masih anak dara mungkin saya ada sasaran umur tertentu. Sekarang apa yang penting adalah kerjaya, anak-anak dan perniagaan pakaian yang baru saya ceburi tahun ini.

Rozita selalu menghabiskan masa di spa? Adakah Jari Spa merupakan spa kegemaran Rozita untuk memanjakan diri?
Saya memang suka memanjakan dirinya di Jari Spa, namun disebabkan kepadatan jadual, saya selalunya hanya berpeluang ke spa sekali atau dua kali sebulan.

No comments:

Post a Comment