Monday, May 23, 2011

Wanita lebih berisiko



DULU ia disangka penyakit yang hanya berlaku pada penduduk Barat khususnya orang kulit putih, tetapi kini sklerosis berbilang (MS) didapati turut dialami masyarakat Asia termasuk negara kita khususnya di kalangan wanita muda.
Mungkin ramai tidak pernah dengar nama penyakit ini. Memang, MS adalah antara penyakit yang jarang dibincangkan, malah di kalangan pengamal perubatan sendiri ada yang kurang tahu mengenainya.
Jumlah pesakit MS di negara kita juga tidak ramai, dianggarkan antara 500 hingga 600 orang saja namun ia perlu diberi perhatian kerana penyakit ini boleh menyebabkan pesakit hilang keupayaan dan semangat untuk hidup.

Perunding Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Shanti Viswanathan, menasihatkan sesiapa yang mengalami gejala seperti kebas, pandangan kabur atau berganda, pertuturan menjadi perlahan dan tidak jelas, kerap lupa, pengecutan otot tidak terkawal, pergerakan tidak stabil dan cepat penat yang berulang kali, supaya segera menjalani pemeriksaan urat saraf kerana ini antara tanda MS.

MS adalah penyakit neurologi kronik yang membabitkan sistem saraf pusat, khususnya otak, saraf tunjang dan saraf optik. Ia menjejaskan sel saraf (neuron), sel otak dan saraf tunjang yang membawa maklumat, membentuk fikiran dan persepsi serta membenarkan otak mengawal pergerakan badan.

Neuron ini sebenarnya diselaputi satu lapisan berlemak yang dikenali sebagai mielin untuk melindunginya dan membawa isyarat elektrik kepada otak. Dalam kes MS, sistem imunisasi menyerang lapisan mielin ini menyebabkan saraf 'luka' dan rosak sehingga menimbulkan pelbagai gejala, bergantung kepada isyarat mana yang terganggu.

Pesakit boleh mengalami masalah kebas, hilang sensitiviti deria sentuh atau penglihatan terganggu ketika penyakit menyerang. Bagaimanapun, sehingga kini tiada siapa yang tahu apa yang menyebabkan penyakit ini. Namun ia dikatakan ada kaitan dengan genetik, faktor persekitaran dan serangan virus. Oleh kerana ia berkaitan dengan faktor genetik, penyakit ini boleh diwarisi.

"MS lebih kerap berlaku pada wanita (dua kali ganda berbanding lelaki) khususnya dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun. Bagaimanapun, pada umumnya ia boleh muncul pada semua peringkat umur pada bila-bila masa.

"Ini adalah waktu kemuncak bagi hidup seseorang wanita. MS boleh menyebabkan lebih banyak ketidakupayaan dan memperlahankan gerak balas seseorang. Secara umumnya, MS boleh membuatkan kehidupan pesakit terjejas hingga ada yang terpaksa berhenti kerja atau pengajian. Keadaan pesakit boleh bertambah buruk jika tidak mendapat rawatan kerana ada yang tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak," katanya.

Gejala MS mungkin muncul dalam beberapa bentuk berbeza kerana gejala baru boleh berlaku dalam serangan berasingan atau beransur-ansur dalam tempoh tertentu. Serangan awal biasanya bersifat sementara, ringan dan terhad. Malah, ada pesakit tidak mengalami gejala.

Gejala MS banyak dan pelbagai, ada kalanya menyerupai penyakit lain seperti strok. Justeru, kena berjumpa pakar saraf (neurologi) untuk pengesahan. Dulu lebih banyak berlaku pada orang kulit putih tetapi kini didapati ramai penduduk Asia turut mengalami MS. Ini mungkin disebabkan kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai MS membuatkan ramai pesakit tidak datang mendapatkan rawatan.


Antara gejala MS:

    • Saraf tengah - Penat, gangguan kognitif seperti sukar menjalankan dua atau tiga tugas pada satu masa, masalah mematuhi arahan terperinci, hilang ingatan jangka pendek dan emosi tidak stabil.

    • Penglihatan - Imej dilihat kelihatan berganda, pergerakan mata yang pantas di luar kawalan, neuritis optik (sakit saraf mata) seperti pandangan kabur, mata sakit, hilang warna dan buta.

    • Percakapan - Percakapan menjadi tidak terang.

    • Tekak - disfagia (sukar menelan makanan dan minuman).

    • Muskuloskeletal - Lemah, pengecutan otot tidak terkawal, ataksia (hilang kebolehan untuk seimbangkan badan, gerakan bergoyang dan jalan tidak stabil akibat kegagalan otak mengawal postur badan, kekuatan dan arah gerakan anggota).

    • Deria - Sakit, sensibiliti yang keterlaluan terutama pada kulit, anggota badan menjadi kebas (gelenyar).

    • Usus - Sembelit, cirit-birit.

    • Saluran kencing - kebocoran kencing, terlalu kerap atau sukar kencing.

    Gejala awal yang kerap dilaporkan adalah perubahan rasa pada tangan, kaki atau muka (33 peratus), kehilangan penglihatan separuh atau sepenuhnya (16 peratus), lemah (13 peratus), penglihatan berganda (tujuh peratus), terhuyung-hayang apabila berjalan (lima peratus) dan masalah keseimbangan (tiga peratus).

    MS tidak hanya mengganggu hidup pesakit, ia juga memberi kesan kepada pasangan. Ini kerana pesakit MS juga akan mengalami masalah disfungsi seksual seperti nafsu seks menurun, berlaku perubahan rasa sensasi pada kemaluan, kekerapan atau keupayaan orgasma berkurang, vagina kering dan otot vagina menjadi lemah.


    Jenis MS

    MS ada beberapa jenis dan antara yang paling kerap berlaku:

  • MS berulang - 80 peratus pesakit akan mengalami satu tempoh bebas penyakit (remisi) sebelum serangan kedua berlaku. Ketika serangan berulang, pesakit boleh alami gejala yang tidak pernah dialami sebelum ini. Tempoh remisi iaitu antara dua serangan tidak diketahui, ia mungkin beberapa hari atau tahun. Tempoh serangan boleh menjadi petanda kepada penyembuhan.

  • MS kemaraan sekunder - Hampir 90 peratus pesakit yang mengalami serangan berulang akan memasuki tahap kedua ini. Cirinya adalah gejala penyakit biasanya bertambah buruk dan menyebabkan penjejasan kekal pada sistem saraf pusat. Kemaraan penyakit berlaku secara perlahan dan kebanyakan pesakit boleh berfungsi seperti biasa dalam tempoh lama.

  • MS kemaraan pengulangan - Kira-kira lima peratus pesakit akan sampai ke peringkat ini. Boleh berlaku serangan akut dalam tempoh remisi dan lebih banyak serangan akan menyusul selepas pengulangan serangan.
    Dalam kes ini, tempoh serangan tidak menandakan penyembuhan.

  • MS kemaraan primer - Hampir 10 peratus pesakit akan mengalami jenis MS ini. Pesakit secara perlahan-lahan akan hilang keupayaan tetapi mereka tidak mengalami serangan akut. Jadi jenis MS ini lebih sukar dikesan.

  • MS benigna - Penyakit akan berada dalam keadaan tidak aktif buat satu tempoh yang lama. Ini bermakna pesakit tidak pernah mengalami sebarang gejala.


    Bagaimana MS mempengaruhi hidup pesakit?

    Seperti diterangkan di atas, gejala MS merangkumi aspek fizikal dan mental. Ramai pesakit MS kerap mengalami gangguan

    emosi, ini termasuk rasa kecewa dengan diri kerana hilang keupayaan untuk melakukan sesuatu akibat kerosakan saraf yang menjana dan mengawal emosi.

    Mereka mudah berasa murung, marah, bimbang, resah dan cepat berputus asa. Malah, kajian menunjukkan pesakit mempunyai kebarangkalian 7.5 kali lebih tinggi untuk membunuh diri. Masalah kognitif seperti sukar mengingat, hilang orientasi fikiran dan tumpuan juga boleh mendatangkan tekanan kepada pesakit kerana ada kalanya mereka pasangan atau ahli keluarga sendiri.

    Menurut Presiden Persatuan Sklerosis Berbilang Malaysia, Padma Panikker, ketika inilah pesakit MS sangat memerlukan sokongan. Pesakit yang mendapat sokongan didapati kurang mengalami tekanan dan dapat menjalani kehidupan lebih baik. Antara yang boleh memberi sokongan:

  • Kakitangan perubatan (untuk pemeriksaan susulan, menyarankan rawatan lain dan sebagai sumber maklumat bagi membantu pesakit).

  • Keluarga dan rakan (Menyediakan persekitaran yang stabil, memberikan sokongan emosi dan psikologi, menggalakkan pesakit untuk hidup aktif).

  • Kumpulan sokongan (tempat untuk berkongsi pengalaman dan cabaran, bertukar maklumat dan membantu orang lain, kaunseling dan psikoterapi, tempat untuk ahli keluarga atau penjaga berjumpa).


    Pengesanan dan rawatan

    Perunding Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Joyce Pauline Joseph berkata, kaedah untuk mengesan MS adalah melalui soal selidik sejarah klinikal dengan bertanyakan gejala dan kekerapan gejala itu berulang contohnya penglihatan terjejas setiap kali mengalami serangan.

    Gejala ini akan hilang sendiri selepas satu tempoh dan diikuti dengan gejala lain beberapa bulan kemudian. Jika perkara ini berlaku beberapa kali, pesakit perlu datang menjalani pemeriksaan.

    Selain itu, ujian yang lebih meluas melalui imbasan imej resonans magnetik (MRI) dan ujian darah. Melalui MRI, bahagian rosak pada otak dan saraf tunjang yang menjadi ciri penting penyakit MS dapat dilihat.

    "Rawatan untuk MS berbeza untuk setiap pesakit bergantung kepada jenis dan tahap penyakitnya. Secara umumnya, pesakit perlu memberi perhatian kepada kesihatan keseluruhan dan menjaga pemakanan," katanya sempena sambutan Hari MS Sedunia pada 26 Mei ini anjuran bersama Merck Serono bagi memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai penyakit ini serta melenyapkan salah anggapan bahawa ia hanya berlaku di kalangan penduduk Barat.


    Ada beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat pesakit seperti:

  • Ubat mengubah penyakit - Ia memperlahankan kemaraan penyakit jika diambil dalam jangka masa panjang.

  • Steriod - untuk mengurangkan keterukan serangan.

  • Lioresal, tizanidine atau benzodiazepane - mengurangkan pengecutan otot.

    Selain rawatan, pesakit akan diberi panduan supaya dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin antaranya:

    a. Bersenam - Mulakan senaman dengan pergerakan yang perlahan dan berhenti jika terasa sakit. Jika sebelah anggota badan terasa sakit, gunakan sebelah yang kuat untuk bergerak. Ia penting untuk:

    • Meningkatkan atau mengekalkan kekuatan otot.

    • Mengurangkan keletihan.

    • Meningkatkan tahap tenaga dan daya ketahanan.

    • Meningkatkan kawalan pundi kencing dan usus.

    • Mengurangkan rasa tertekan atau murung.

    • Melindungi tulang.


    b. Bagi pesakit yang mengalami masalah sukar menelan:

    • Makan makanan lembut dan hancur seperti bubur nasi bersama daging dan sayur cincang untuk mudah ditelan.

    • Dapatkan bantuan daripada pakar pertuturan mengenai kepekatan makanan supaya pesakit mendapat khasiat secukupnya.


    c. Pesakit yang ada masalah pundi kencing dan usus:

    • Untuk mengelakkan sembelit, ambil lebih banyak makanan berserat, sayur dan jus buah.

    • Gantikan snek atau hidangan minum petang dengan buah-buahan, salad atau biskut mil penuh.

    • Minum banyak air (enam hingga lapan gelas sehari).

    • Hadkan pengambilan kopi, teh atau minuman berkarbonat.

    • Jangan minum sebelum masuk tidur.

    No comments:

    Post a Comment